kunjungi laman baru kami...

Tuesday 28 September 2010

kami telah berpindah ke :-

http://korea.amirnet.org/category/3akhawat/


Kenali hati anda


Antara semua makhluk ciptaan Allah, manusia adalah ciptaan-Nya yang paling sempurna. Selain lengkap dengan tujuh pancaindera, Allah juga mengurniakan akal dan fikiran bagi memudahkan manusia membuat pertimbangan.

Walaubagaimanapun, akal dan fikiran dikendalikan oleh seketul daging di dalam tubuh manusia yang dikenali sebagai hati. Hati ibarat raja di dalam sesebuah negeri yang diindungi dan dikelilingi oleh seluruh anggota badan. Sesuai dengan tugasnya sebagai raja, hati memerintahkan seluruh anggota badan supaya bertindak.

Justeru itu, tindakan yang dilakukan itu sama ada berupa kebaikan atau kejahatan banyak bergantung pada hati itu sendiri.


Abu Hurairah r.a meriwayatkan, sabda Rasulullah s.a.w :

Hati adalah umpama raja dan anggota tubuh badan sebagai pengawalnya, apabila raja memerintah dengan baik, pengawalnya tentulah bertugas dengan baik juga, apabila rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, sudah tentu pengawalnya pun begitu juga

Dalam satu hadis lain, Rasulullah bersabda :

Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh ada segumpal daging. Apabila ia baik maka baiklah seluruh badannya, dan sekiranya ia buruk maka buruklah kesemuanya. Ketahuilah ia adalah hati.

Hati boleh dibahagikan kepada tiga kategori.

1) Hati yang sihat

Hati yang sihat ialah hati yang bersih daripada keinginan untuk melakukan perkara yang melanggar Allah dan larangan-Nya termasuklah perkara-perkara yang meragukan. Ini bermakna hati yang sihat bebas daripada menjadi hamba kepada syaitan. Ketaatan, harapan, rasa takut, keredhaan dan taubat mereka hanya kepada Allah semata-mata.

Orang-orang yang memiliki hati yang sihat sentiasa tunduk dan patuh kepada semua perintah Allah . Setiap perbuatan mereka diniatkan hanya kerana Allah. Mereka mencintai dan membenci kerana Allah.

Pada hari akhirat kelas, mereka yang mempunyai hati yang suci, sihat dan bersih adalah orang yang paling bahagia apabila bertemu dengan Allah.


2) hati yang mati

Hati yang mati adalah lawan bagi hati yang sihat, Ini bermakna, orang yang hatinya mati adalah orang yang tidak mengenali Tuhan dan tidak pernah menyembah serta menurut perintah-Nya. Hati mereka dikuasai hawa nafsu dan hanya menurut kehendak hati. Fikiran mereka hanya dipenuhi oleh keinginan untuk memenuhi kehendak-kehendak dunia. Andai mereka memberi sesuatu, ia adalah semata-mata kerana keinginannya untuk memberi bukanlah untuk mendapat keredhaan Allah.

Hati seperti ini adalah ibarat tubuh kaku yang telah mati.

3) Hati yang sakit

Hati seperti ini pada zahirnya tampak sihat tetapi di dalam hati sudah teruk dan sukar diubati., Orang yang memiliki hati yang sakit ini pada mata kasar memamg mencintai Allah, mempercayai-Nya, ikhlas menghambakan diri dan berserah kepada-Nya. Namun hakikatnya, ia berlawanan dengan perkara sebenar.

Hati yang seperti ini sebenarnya mempunyai perasaan cinta pada hawa nafsu antaranya hasad dengki, sombong, riak dan bermacam lagi.

Keadaan hati yang sakit ini membawa ke arah dua jalan.

Jalan pertama mengajaknya kembali kepada Allah dan rasul-Nya serta hari akhirat. Jalan yang kedua pula mengajaknya kepada kemewahan dunia. Antara kedua-duanya, hati akan memenuhi ajakan mana-mana jalan yang lebih hampir kepadanya.


Di antara ketiga-tiga hati tersebut, hati yang manakah yang kita miliki?

Jika hati yang sihat, alhamdulillah. Berdoalah kepada Allah moga hati yang suci itu dapat dikekalkan.

Jika anda memiliki hati yang mati dan hati yang sakit, segeralah kembali kepada-Nya. Mohonlah ampun atas segala kesilapan. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun Lagi Penyayang. Moga hati itu kembali hidup dan sihat.


*Diolah dari buku Bahagiakan Hatimu karangan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.

Monday 13 September 2010

amalan beristigfar

Al-Aghar al-Muzani Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.”

(Hadis riwayat Muslim)


Nabi muhammad s.a.w adalah seorang kekasih Allah yang maksum (terpelihara dari dosa), walaupon begitu, beliau sentiase takut sekiranya ada melakukan kesalahan lalu beliau beristigfar sebanyak seratus kali setiap hari.


tetapi kita sebagai hamba Allah yang tidak lepas dari lalai dan berbuat dosa, adakah kita menjadikan amalan beristigfar sebagai amalam kita sebelum setiap kali hendak tidur?


astagfirullah, muhasabah lah diri setiap kali sebelum melelapkan mata..

kenang kembali perilaku kita dari pagi,

segala yang kita zahirkan mahupon kita sorokkan didalam hati,

Allahlah yang maha mengetahui.


sekiranya terlintas sesaat sekali pon niat yang tidak baik, perasaan bangga, perasaan dengki,

ayuh beristigfar.


jadikan amalan setiap hari kita.



-HumbleMe-




*************************************************************************


Dalam sebuah hadis yang lain pula, Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.”

(Hadis riwayat Abu Daud)


Dari ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam, fadhilat istighfar itu antaranya adalah:


1) Memperoleh keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas segala dosa yang dilakukan samada sengaja atau tidak.


2) Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.


3) Mendekatkan diri kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Subhanahu Ta‘ala dan untuk mencapai keredhaanNya.


4) Memperolehi perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.


5) Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang dilarangNya.


6) Memperoleh keutamaan dan anugerah dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.





ini adalah copy paste. untuk membaca lebih byk dalil dan hadis tentang amalan istigfar

:http://www.facebook.com/note.php?note_id=121258864590920&id=133197533381499


*************************************************************

Wednesday 8 September 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Sambutlah Eid-ul Fitri kali ini dengan penuh keinsafan dan tekad untuk berubah menjadi yang lebih baik.
Minal 'aidil wal faizin.. Selamat Hari Raya Aidilfitri

Monday 30 August 2010

Wednesday 25 August 2010

10 pembohongan besar media berkenaan ISRAEL


Seorang jurnalis dan pengarang yang berasal dari Belgium, Michel Collon, mengecam media Eropah kerana sikap mereka yang telah berabad-abad berbohong kepada masyarakat awam semata-mata untuk memberi sokongan kepada negara haram Israel. Melalui buku beliau yang bertajuk Israel, let’s talk about it, Collon telah menyenaraikan “10 pembohongan besar” yang telah disebarkan oleh media Barat bagi “menjustifikasi kewujudan dan tindakan-tindakan kejam rejim Zionis Israel”.

Berikut adalah pembohongan-pembohongan yang dimaksudkan:

1. Pembohongan pertama adalah bahawa negara haram Israel tertubuh sebagai reaksi kepada pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi ketika peperangan dunia kedua. Dakwaan ini sangat tidak betul, kerana penubuhan Israel pada hakikatnya adalah sebuah perancangan tirani yang kejam dan otokratik, yang telah dipersetujui oleh Kongres Zionis yang pertama di Basel, Switzerland pada tahun 1897. Dari sinilah puak-puak nasionalis Yahudi memutuskan untuk menakluk dan menzalimi Palestin.

2. Justifikasi kedua bagi mereka mendirikan negara haram Israel adalah bahawa kaum Yahudi kembali ke bumi nenek moyang mereka, dari mana mereka telah dihalau pada tahun 70 A.D. Ini hanyalah satu cerita dongeng! Collon telah berbincang dengan beberapa orang tokoh sejarah Israel, termasuklah Shlomo Sand, dan mereka semua percaya bahawa tidak pernah berlaku pemindahan beramai-ramai kaum Yahudi. Jadi “kembali ke bumi asal” adalah suatu yang tidak benar. Mereka yang menetap di Palestin pada zaman lampau tidak pernah meninggalkan bumi itu.

Malahan keturunan Yahudi yang berasal dari Palestin adalah mereka yang sekarang ini tinggal di Palestin. Mereka yang mendakwa untuk kembali ke bumi Palestin adalah sebenarnya berasal daripada Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.

Shlomo Sand menegaskan bahawa tidak pernah wujud sebuah negara Yahudi. Malahan, puak-puak Yahudi tidak pernah mempunyai persamaan dalam sejarah, bahasa mahupun budaya. Satu-satunya perkara yang mempunyai persamaan antara mereka adalah agama, dan agama tidak membentuk sebuah negara.

3. Pembohongan ketiga adalah bahawa ketika pendatang-pendatang Yahudi memasuki dan menduduki Palestin, bumi tersebut merupakan sebuah negara yang “kosong’ dan tidak diduduki. Sesungguhnya terdapat dokumen-dokumen dan bukti-bukti yang mengesahkan terdapat transaksi mengekspot barangan pertanian daripada Palestin ke negara-negara luar, termasuk Perancis, dalam abad ke sembilan belas.

4. Keempat, ada pihak yang mendakwa bahawa rakyat Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela. Ini adalah satu lagi pembohongan besar yang dipercayai ramai, termasuklah Collon sendiri, sehinggalah tokoh-tokoh sejarah Israel seperti Benny Morris dan Ilan Pappe menyatakan bahawa warga Palestin telah dihalau dan dihapuskan dari tanahair mereka melalui kekerasan, jenayah dan kekejaman.

5. Dikatakan bahawa negara Zionis Israel yang wujud hari ini adalah satu-satunya negara yang mengamalkan demokrasi di Timur Tengah, jadi negara itu harus dilindungi kerana ianya adalah sebuah negara yang menegakkan undang-undang.

Tetapi menurut Collon, bukan sahaja Israel sebuah negara yang tidak menegakkan undang-undang, malahan Israel juga adalah satu-satunya negara yang tidak mempunyai undang-undang yang dapat menjelaskan di mana wilayah dan sempadan negaranya.

Semua negara di dunia ini mempunyai undang-undang atau konstitusi yang memberi denifisi jelas berkenaan wilayah dan sempadan negara mereka, tetapi perkara ini tidak pernah wujud bagi negara Israel. Israel hanyalah sebuah projek penaklukan yang berkembang tanpa mengenal sempadan, dan undang-undang yang ada bagi negara tersebut benar-benar berbentuk perkauman. Menurut undang-undang mereka, Israel adalah sebuah negara untuk Yahudi dan penduduk Israel yang bukan daripada keturunan Yahudi tidak diiktiraf sebagai manusia. Adakah undang-undang seperti ini membentuk sebuah demokrasi?

6. Amerika dikatakan cuba menegakkan demokrasi di Timur Tengah dengan membantu dan mempertahankan negara Israel. Kita semua maklum bahawa bantuan kewangan tahunan Amerika kepada Israel mencecah sehingga USD 3 bilion. Dana ini sebenarnya digunakan untuk menghancurkan negara-negara yang berjiran dengan Israel.

Amerika tidak pernah menegakkan demokrasi di Timur Tengah, mereka mungkin hanya membantu mengukuhkan pemerintah yang sedia ada dan penguasaan kekayaan minyak di wilayah tersebut.

7. Mereka mendakwa Amerika membantu usaha mencapai persetujuan dalam perjanjian antara Israel dan Palestin. Ini juga suatu yang tidak benar dan pembohongan. Mantan Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah, Javier Solana pernah menyebut bahawa Israel adalah negara yang ke-21 dalam Kesatuan Eropah. Industri pertahanan Eropah bekerjasama dengan industri pertahanan Israel dan malahan membantu mereka dari segi kewangan. Tetapi apabila rakyat Palestin memilih pemerintah kerajaan mereka, negara-negara Eropah tidak mahu mengiktirafnya dan membenarkan Israel menyerang dahsyat bumi Gaza.

8. Apabila seseorang bercakap tentang perkara-perkara seperti ini dan juga sejarah pergolakan Israel dan Palestin, apabila seseorang mendedahkan kepentingan Amerika terhadap isu ini, dia akan didakwa sebagai anti-semit untuk memberi tekanan supaya beliau menutup mulut.

Tetapi kita harus menyebut bahawa bilamana kita mengkritik Israel, itu bukanlah suatu bentuk perkauman atau anti-semitism. Kita mengkritik sebuah kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan antara pemganut-penganut Yahudi, Kristian dan Islam, dan seterusnya menghapuskan keharmonian di kalangan penganut-penganut agama yang berbeza.

9. Media massa juga mendakwa bahawa rakyat Palestin melakukan jenayah dan keganasan. Kita percaya bahawa penaklukan secara kejam yang dilakukan oleh tentera Israel adalah sebenarnya satu jenayah dan keganasan, begitu juga dengan polisi mereka merampas tanah dan rumah-rumah milik rakyat Palestin adalah satu keganasan yang nyata. Rakyat Palestin hanyalah mempertahankan hak dan bumi milik mereka daripada jenayah dan keganasan Israel.

10. Ramai yang mengatakan bahawa tidak ada langsung harapan untuk menyelesaikan konflik ini, dan tidak akan ada penyelesaikan terhadap kebencian yang terbentuk akibat aksi-aksi ganas Israel dan sekutunya.

Percayalah di sana ada satu penyelesaian. Salah satu perkaya yang dapat menghentikan konflik ini adalah dengan memberi tekanan terhadap Israel, Amerika, Eropah dan sekutu-sekutu mereka yang lain. Media massa perlu diberi tekanan supaya memberitakan apa yang benar dan menghentikan pembohongan.

Gunakan internet dan apa sahaja media yang ada bagi menyebarkan perkara yang sebenarnya berkenaan Palestin dan apa yang berlaku di sana.

********************************************************************************

http://haluanpalestin.haluan.org.my/?p=4274

Sunday 22 August 2010

"kita ini adalah angkatan musafir didalam hidup ini

Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah lalu

Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kita

Wajib pula kita menunjukkan jalan kepada generasi depan"


"jadilah umpama pelita yang menyala di tengah malam yang gelap gelita

Memandu manusia kepada hidayah dan menerangkannya

Bergiat cergaslah demi agamamu dan janganlah bermalas-malas

Berusahalah untuk menggerakkan orang yang berdiam diri"

Wednesday 11 August 2010

Salam Ramadhan 1431H


Selamat berpuasa & beramal kepada semua pembaca kimchikimbab & seluruh umat Islam di serata dunia.

Ya Allah...sampaikanlah kami ke akhir Ramadhan Mu dengan penuh keberkatan dariMu.

Saturday 7 August 2010

"Wahai orang-orang budiman dan soleh!
Wahai ahli Zuhud dan ahli ibadat!
Di hadapanmu terbentang qanun Rabbani yang menggerunkan sekiranya kamu terus membisu seribu bahasa.
Janganlah kamu diperdayakan oleh zuhud dan solatmu
Perkatakan kebenaran, halanglah kemungkaran yang sedang berlaku,
Jika tidak... tunggulah saat kebinasaan dan kemusnahan."

-petikan dari buku Al-munthalaq. pg:38-

Thursday 5 August 2010

jangan tertipu dengan diri sendiri

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


antara salah satu sebab mengapa kita terjatuh setelah mendapat hidayah adalah kerana tertipu dengan diri sendiri.

yang dimaksudkan dengan tertipu dengan diri sendiri ialah "syok sendiri" iaitu apabila kita menganggap yang kita telah byk berkorban, atau telah cukup baik dan berasa puas dengan amalan kita selama ini.

sebagai contoh:

Si A menginfakkan duitnya setiap bulan lebih dari orang lain, dan lebih byk berjalan ke sana ke sini untuk berdakwah. lalu terdetik didalam hatinya yang dia yang paling byk berkorban dan membuatkan dia berasa perlu berehat sebentar dari kepenatannya dlm berdakwah.

"sekali-kali jangan; manusia itu belum melaksanakan apa yang diperintahkan Allah kepadanya"

(Abasa:23)

penyakit tertipu dengan diri sendiri ini membahayakan keimanan tuannya.

kita sekali2 tidak akn pernah cukup beramal walaupon sepanjang hayat kita telah kita guna hanya untuk beramal ibadat kepada Allah. ini terbukti dengan dalil diatas, Allah S.W.T berfirman dimana manusia belum melaksanakan apa yang Allah perintahkan kepadanya.

perasaan tertipu dengan diri sendiri ini timbul apa bila kita membandingkan diri kita dengan mereka yang kita fikir kurang berkorban atau kurang baik berbanding kita.

sebagai contoh:

kita membaca alquran setiap kali lepas solat, sedangkan roommate kita tidak membaca Al-Quran, jadi kita berasa kita sudah cukup baik berbanding orang lain, walhal kita sepatutnya membandingkan diri kita dengan mereka yang jauh lebih byk beramal dari kita. ada orang yang menghabeskan satu juzu alquran dalam sehari, ada juga yang khatam alquran setiap 3 hari. masyaAllah..sekiranya kita cari, kita akn dapati lebih ramai hamba Allah yang lebih merendah diri dan lebih menggunung amalan dan pengorbanannya dari kita.

oleh itu, mari kita beramal sambil merendah diri. smoga amalan kita diterima oleh Allah, kerana banyak mana pon amalan kita, tidak semestinya semuanya diterima Allah.

Wallahualam.

Tuesday 20 July 2010

apa khabar??

assalamualaikum wbt.

apa khabar pengunjung kimchi kimbap sekalian?? harap semuanya dalam keadaan sihat walafiat.
sedar tak sedar, kita sekarang dah berada dalam bulan syaaban. tak lama lagi, ramadhan akan menjelang.
mari kita tanam azam awal-awal agar puasa tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.

Salman al-Farisi berkata, bahawa baginda Rasulullah s.a.w. berkhutbah di akhir bulan Syaaban, sabda baginda:

"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu dibayangi dengan satu bulan yang agung lagi diberkati, iaitu bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang diwajibkan Allah puasa fardu pada siang hari, amalan sunnat pada malam-malamnya."


Selamat Bercuti dan Selamat Bermuhasah Diri !!

Friday 18 June 2010

Bertudung? Kau Sudah Bertudung?



Sudah hampir setahun aku memakai tudung. Dan selama setahun juga soalan dan kata-kata ini diajukan padaku:

“Wah, dah bertudung! Kenapa kau bertudung?”.
“Apa mimpi kau bertudung?”
“Baguslah kau dah insaf, macam poyo!”.
“Macam baik sangat pakai tudung.”.
“Aku rasa kau lagi cantik tak bertudung”.
“Bertudung bukan untuk orang kampung je ke?”

Macam-macam kerenah telah ku jumpa, tapi paling best sekali yang berkata begini pada ku,
“Baru MASUK ISLAM ke kak?”.

Dan kenapa aku memilih untuk bertudung? Biar aku kongsikan bersama mengapa aku bertudung.


Peristiwa Pertama

Hampir setahun lalu, aku duduk berhampiran tingkap, memandang ke luar. Aku melihat burung-burung yang berterbangan dan awan yang biru di kaki langit. Tiba-tiba hatiku berdetik, kalau suatu hari nanti jika aku ditimpa masalah macam mana ye? Adakah kawan-kawanku akan bersama denganku? Atau mereka akan menjauhkan diri?

Hampir sejam aku memikirkan jawapannya. Dan dengan itu, hatiku berdetik, apabila aku dilanda masalah, kawan-kawanku mungkin lari, tetapi Allah sentiasa bersamaku. Dia sentiasa bersama hamba-hambanya.



"..cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung, maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) daripada Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar."
(Ali -Imran:173-174)



Peristiwa Kedua

Aku membaca sebuah berita kematian. Seorang pemuda, yang lebih muda dariku, meninggal dunia (sebab kematian tidak diingati). Hatiku berdetik, bagaimana aku kelak di dalam kubur, pasti aku diazab dengan azab yang paling pedih. Kerana amalanku tidak sebagus mana.


Peristiwa Ketiga

Aku melihat berita di televisyen. Kisah seorang remaja wanita yang rosak akhlaknya. Aku melihat, ibubapa remaja tersebut menangis semahu-mahunya megenang perilaku anaknya. Aku menjadi sebak. Lantas terdetik di hatiku, bagaimana anakku kelak, akan beginikah sikapnya nanti?

Rentetan-rentetan ini yang membuka hatiku untuk bertudung. Agar aku mendapat keredhaan Allah. Apabila aku bertudung aku merasa ketenangan. Ketenangan yang ku cari selama ini. Diriku tidak sempurna mana, kerana aku insan biasa, yang punya kelemahan, yang punya kekurangan. Aku masih memperbaiki kelemahan diri. Dekatkanlah diri dengan penciptamu, kerana di situ ketenanganmu. Peganglah pada tali yang satu, tali agamamu, kerana tali agamamu tidak akan putus dan ia akan membantumu.

Jadi selepas ini, aku berharap tidak akan ada lagi yang bertanya mengapa aku bertudung. Sebaliknya, ucapkanlah Alhamdullilah apabila melihat perubahanku.

Tuesday 8 June 2010


Selamat Menghadapi Peperiksaan..
Study elok-elok...jawab exam dengan tenang...jangan lupa mohon doa dari-Nya ya!

Friday 4 June 2010

Perkongsian bersama Relawan LL4G yang baru dibebaskan


Sebahagian Pelajar Irbid bersama relawan Gaza. Ada ramai lagi yang menunggu giliran untuk bergambar di belakang kamera itu.

Sebahagian Pelajar Irbid bersama relawan Gaza. Ada ramai lagi yang menunggu giliran untuk bergambar di belakang kamera itu.


Perkongsian Dr Selamat Aliman

Perkongsian telah dimulakan oleh Dr Selamat Aliman. Beliau merupakan wakil daripada Jemaah Islah Malaysia(JIM). Beliau memulakan penyampaian dengan memuji Allah dan mengucapkan terima kasih kepada penganjur atas inisiatif mengadakan perkongsian pengalaman bersama mereka. Hakikatnya, beliau menyatakan bahawa dia tidak menjangka akan ada majlis sebegini.

Beliau menyatakan bahawa, JIM hakikatnya telah berusaha semenjak penubuhannya 15 tahun lepas dalam isu Palestin. Usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat akan isu itu agar semua sedar untuk bergerak sama-sama membantu. Beliau menyatakan bahawa, hakikatnya isu Palestin sepatutnya menjadi pengetahuan umum.

Beliau juga menyatakan bahawa JIM juga telah berusaha mengumpul sumbangan yang diperolehi daripada ceramah-ceramah dan roadshow dari seluruh negara. Semua itu tidak hanya dilakukan oleh ahli JIM sahaja, tetapi ada juga yang dilakukan dengan masyarakat dan kerjasama dengan NGO lain seperti Haluan dan Aqsa Syarif. Bagi misi Lifeline4Gaza(LL4G) yang lepas, beliau menyatakan bahawa JIM telah membawa sejumlah koleksi sumbangan sebanyak RM400,000. Beliau menyatakan, jumlah itu jika hendak dibandingkan dengan sumbangan daripada HaluanPalestin, nyata ia kuantiti yang sedikit. Bahkan, untuk keperluan Gaza sendiri, jumlah itu bukanlah satu jumlah yang besar. Tetapi nyata beliau, kuantiti bukan masalah. Semangat dan kesungguhan, serta keikhlasan itulah yang kita perlukan bersama dalam perjuangan untuk menegakkan hak orang Palestin yang dikongkong oleh Israel.

Beliau di dalam perkongsiannya, hendak menjelaskan keperluan bagi menyertai misi LL4G. Beliau menceritakan bahawa, LL4G adalah gabungan NGO yang diterajui oleh IHH, satu badan NGO daripada Turki. IHH telah berjaya menggerakkan NGO dari seluruh dunia untuk menyertai misi ke Gaza. Hakikatnya, misi yang berlangsung pada bulan Jun baru ini bukanlah misi yang pertama. Misi ini hakikatnya misi yang ketiga. Konvoi Kapal Laut Flotillah adalah merupakan inisiatif yang keempat. Misi Lifeline yang sebenarnya adalah menggunakan jalan darat dari London, bergerak ke Istanbul dan hendak memasuki Gaza melalui Rafah. Tetapi berlaku sekatan oleh Kerajaan Mesir di sempadan Rafah-Gaza.

Dalam konteks LL4G yang keempat ini, beliau menyatakan bahawa dunia telah melihat apa yang telah berlaku. Ahli kapal diserang, ada yang dibunuh dan ramainya di’culik’ oleh Rejim Zionis yang mencipta taktik Lanun laut. Satu perkara yang penting perlu diberi perhatian adalah, ianya berlaku di luar kawasan pantai Israel. Perkara itu berlaku di atas perairan antarabangsa yang sepatutnya tiada siapa yang berhak untuk menguatkuasakan undang-undang di situ. Sekiranya ada, sepatutnya sekadar mengawal pergerakan sahaja. Bukannya menyerang seperti apa yang berlaku.

Beliau menyatakan bahawa, jika diperhatikan kejadian lanun laut di Somalia dan sebagainya, reaksi untuk kes LL4G lebih pantas. Perbuatan itu ternyata mendapat celaan yang hebat daripada masyarakat antarabangsa. Dalam konteks ini, masalah lanun di Somalia adalah pencabulan hak kebebasan menggunakan jalan laut itu adalah perbuatan individu. Tetapi di dalam kes LL4G, yang melakukannya adalah sebuah negara, yang mempunyai tentera yang terlatih dan senjata yang hebat. Bukannya individu.

Perkongsian Ustaz Hasanuddin

Majlis seterusnya diserahkan kepada Ustaz Haji Hasanuddin. Ustaz Haji Hasanuddin memulakan perkongsian dengan menggelarkan rakan-rakannya(yakni relawan yang lain) sebagai ‘rakan-rakan sepenjara’ dan beliau menyatakan bahawa, tercatat di dalam Al-Quran bahawa Nabi Yusuf AS telah memanggil sahabat sepenjaranya dengan gelaran “Ya Soohibayis Sijn.”

Ustaz Hasanuddin menyatakan bahawa dirinya adalah wakil dari Aqsa Syarif. Beliau menceritakan yang Aqsa Syarif hakikatnya telah lama wujud dalam bentuk pergerakan semnejak zaman beliau belajar di Sweileh, Amman, Jordan lagi. Cuma baru-baru ini sahaja digerakkan secara besar-besaran. Aqsa Syarif dinyatakan telah mempunyai 72 cawangan di seluruh Malaysia.

Ustaz Hasanuddin menyatakan bahawa syuhada itu hidup di sisi Allah SWT. Para Syuhada, selepas mati dan melihat nikmat yang akan diberikan kepadanya, akan tidak sabar-sabar untuk pulang menyampaikan berita gembira akan nikmat-nikmat itu kepada manusia yang masih hidup. Demi memerdekakan Al-Aqsa, semangat yang sama itu jugalah yang menghilangkan perasaan takut dan perasaan sedih. Ustaz Hasanuddin menyatakan bahawa, itulah dia antara perkongsian di atas bot yang mereka dapati sebelum bertolak ke Gaza.

Ustaz Hasanuddin menyatakan bahawa, mereka hakikatnya memang arif dengan perangai Israel Zionis. Allah telah menentukan bahawa, Bani Israel ini telah tercatit untuk mereka ini melakukan kerosakan. Bahkan, dua kali kerosakan itu akan dilakukan dan mereka akan meninggi diri dengan penuh sombong. Ustaz Hasanuddin berkata bahawa, walaupun perkara itu telah arif untuk dirinya, dan dia merasakan telah sangat kenal dengan sikap Bani Israel kerana mempelajarinya daripada Al-Quran, apabila bertemu sendiri dengan Israel dan dilayan secara kasar, maka ‘perkenalan’ itu menjadi lebih mendalam dan berkesan di dalam jiwanya. Ternyata, medan gerak kerja berlainan dari medan ilmu dan berkata-kata.

Ustaz Hasanuddin menjelaskan bahawa, mereka bergabung untuk memecahkan tembok kepungan ke atas saudara-saudara di Gaza yang telah berjalan selama 4 tahun setengah. IHH melihat perkara ini dan berusaha membuat sesuatu untuk membantu. Maka IHH mengumpulkan pelbagai pihak dari seluruh dunia untuk memfokuskan akan hal ini. Ustaz Hasanuddin menyatakan bahawa di atas bot flotilla itu sendiri, ada paderi kristian yang menyertainya. Ahli-ahli LL4G telah membantu Paderi itu yang menghidapi penyakit kencing manis.

Ustaz Hasanuddin berkata bahawa, kejadian Gaza dikepung dan usaha IHH hakikatnya sama dengan apa yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Ketika mana orang-orang Quraisy memulaukan Rasulullah SAW dan seluruh pengikutnya, bahkan Banu Hasyim yang melindunginya, maka wujud beberapa orang yang mempunyai semangat kemanusiaan, walaupun bukan dari orang Islam dan tidak pula dari golongan Banu Hasyim, datang membantu menghentikan pemulauan. Itulah yang telah dilakukan oleh IHH.

IHH telah mengkaji undang-undang dunia untuk memastikannya mampu menyebelahi apa yang hendak dilakukan mereka. Negara Turki yang berasal dari kerajaan sekuler pimpinan Kamal Ataturk, hari ini bangkit menjadi pemimpin yang menggunakan sekularisma sebagai pisau menikam sekularisma itu sendiri. Kebencian terhadap kerajaan sekular, hari ini Allah balas dengan menunjukkan betapa pemimpin turki sendiri berjaya menggunakan sekularisma untuk memecahkan sekularisma dunia itu sendiri. Ini adalah usaha bijak penuh telus yang dilakukan IHH.

Ustaz Hasanuddin menyatan, sebelum mereka bergerak ke Gaza, Israel dengan suka hati teklkah menambah, membesarkan jarak sempadan laut mereka. Memandangkan kapal flotilla tidak merentasi sempadan Israel, mereka telah melakukan tindakan drastik dengan menyerang ahli konvoi di atas laut. Sedangkan yang ada di atas kapal hanyalah pensel untuk kegunaan sekolah anak-anak di Gaza, bantuan makanan, dan batu-batuan serta simen untuk tujuan pembinaan sekolah. Terdapat dua kapal kontena penuh dengan bahan muatan untuk membina semula Gaza.

Ustaz Hasanuddin berkata bahawa, tujuan mereka jelas. Konvoi ini hakikatnya selain dari memberikan bantuan, ia juga berhajat besar untuk menyeret seluruh dunia memandang isu kezaliman yang telah berlaku ke atas Gaza semenjak 1948. Dengan izin Allah, hari ini, Kerajaan Malaysia sendiri telah bergegas menyambut mereka apabila mereka berjaya dilepaskan. Ini tanda keendahan itu telah bertambah. Bagi Ustaz Hasanuddin, beliau menyatakan bahawa matlamat dakwah yang utama dalam LL4G telah tercapai dan berjaya. Yakni untuk menyeret seluruh dunia memerhatikan, dan membincangkan isu Palestin serta melihatnya secara serius. Beliau menyatakan betapa hakikatnya, yang membicarakan hal Palestin ini akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Perkongsian Dr Syed Muhammad Halim

Perkongsian seterusnya dilakukan oleh Dr Syed Muhammad Halim dari HALUAN. Beliau pada mulanya tidak tahu hendak bercerita bermula dari mana. Tetapi kemudiannya beliau telah mengajak hadirin untuk melihat suasana cemas yang telah mereka lalui di dalam kapal. Namun suasananya terbalik apabila mereka sampai di Jordan. Suasana Jordan sangat tenang, seakan tidak ada berlakunya apa-apa terhadap negara jiran mereka. Lepasan tawanan pula disambut bagaikan wira negara. Beliau menganggap, itu hakikatnya sebagai satu kegagalan selagi mereka belum dapat mencapai objektif membebaskan bumi Al-Aqsa dan tidak lengkapnya pengabdian diri mereka kepada Allah SWT. Beliau menyatakan, apabila semua itu tercapai, barulah dinamakan kejayaan dalam obkjektif LL4G.

Beliau menceritakan bahawa, LL4G sebelum ini telah berjaya menembusi Rafah melalui jalan darat. Yang berjaya masuk hanya separuh manakala bakinya disekat. Pelbagai kekasaran telah ditunjukkan oleh Kerajaan Mesir dalam hal itu. Sehingga ahli konvoi berpakai bukan itu caranya untuk memecahkan tembok kematian Gaza. Dr Syed Muhammad Halim menceritakan betapa di Gaza, tiada sistem perbankan untuk menghantar wang terus ke sana. Mereka tersekat di dalam tembok kematian walaupun luasnya hanyalah lebih kurang Shah Alam sahaja. Daerah yang cukup kecil, tetapi amat terseksa. Namun kata beliau, rakyat Faza telah menunjukkan ciri-ciri pengabdian kepada Allah yang amat tinggi. Mereka mampu hidup sampai sekarang walau dikepung selama 4 tahun setengah.

Beliau juga berkongsi akan pengisian yang diperolehinya semasa di atas kapal, yakni cerita akan Ashabul Kahfi. Kata beliau, wujud juga Ashabul Ghazza yang perlu diperhatikan. Namun Ahlul Ghazza tiada gua untuk mereka bersembunyi, tiada ruang untuk mereka melarikan diri. Hari-hari mereka dibom dan dibunuh, anak-anak dirampas dan semalam mereka masih dibom lagi. Dan tiada siapa yang memprdulikan mereka. Tiada siapa bersuara untuk mendakwa Israel kerana membunuh penduduk di Gaza.

Dr Syed Muhammad Halim berkongsi bahawa Gaza saban tahun melahirkan 10,000 orang Hafiz Al-Quran. Di Gaza jugalah munculnya halaqah dan usrah yang hidup. Hakikatnya di Gaza, ada 30,000 halaqah yang bergerak setiap minggu secara konsisten. Mereka ini telah berjaya menjadi contoh yang realiti terhadap ummah dunia. Mereka tiada bank, tiada sistem perparitan, tetapi tetap sehingga sekarang mampu hidup tanpa rungutan. Mereka tetap hidup beradab sopan dan berkahlak sesama mereka.

Dr Syed Muhammad Halim merasakan betapa bahawa, mereka hakikatnya datang ke Gaza bukan untuk memberikan bantuan. Bahkan, merekalah yang meminta bantuan daripada Gaza. Hal ini kerana, mereka ingin belajar daripada Gaza akan erti kehidupan yang sebenar, dan mencontohi mereka.

Dalam perkongsiannya, Dr Syed Muhammad Halim berkongsikan akan objektif LL4G. Ada tiga semuanya, digariskan oleh IHH. Sebelum itu, beliau berkongsi akan satu cerita selepas dibawa seorang ulama’ dari Gaza untuk perkongsian semasa kuliah Subuh di Malaysia. Selepas ceramah itu, terdapat dua orang jemaah masjid membincangkan akan hal Gaza dalam keadaan tidak tahu. Bila diterangkan akan keadaan Gaza yang sengsara, mereka berdua menyoal semula – ada ke negara yang demikian? – itu orang yang pergi bersolat subuh. Bagaimana agaknya orang lain yang larut dengan dunia?

Objektif yang digariskan oleh IHH untuk LL4G ada tiga. Iaitu:

1. Mewujudkan Kesedara Masyarakat Dunia akan hal Gaza.

Isteri Bill Clinton, telah menyuruh dikaji semula bantuan secara berjadual di Gaza. Hal ini baru di sebut selepas 4 tahun pengepungan, selepas terjadinya kes serangan Israel ke atas LL4G. Selepas kapal dicuri, ada yang syahid dibunuh, baru Palestin mendapat perhatian. Seakan-akan perkara ini baru berlaku semalam. Inilah rupanya bayaran untuk menyedarkan ummah.

2. Menamatkan Kepungan Terhadap Gaza.

Objektif ini hendak menyatakan kepada masyarakat dunia bahawa mereka boleh menamatkan kepungan yang berlaku di Gaza itu secara legal. Cuma di mana selama ini pemimpin-pemimpin dunia? Di mana selama ini kumpulan hak asasi-kumpulan hak asasi manusia? Tetapi yang tiada kuasa, senjata, tiada daya bercakap, yang itulah yang berkumpul hendak membantu Gaza. Dengan tenaga empat kerat, merempuah perairan yang pastinya akan diganggu Israel. Bila terjadinya kes sebegini, barulah dunia hendak memberikan perhatia.

3. Untuk Menyampaikan Bantuan kepada Gaza.

Sebab itu dilakukan kutipan. Beliau menggucapka terima kasih kepada semua yang memberikan bantuan.

Kata beliau, objektif pertama nampaknya telah berjaya dicapai. Contohnya di Malaysia, pada 5hb 6 2010 akan diadakan perhimpunan oleh pelbagai kaum untuk melaung di atas jalan, “Hancur Israel.” Ini satu perkembangan yang baik.

Berkenaan objektif ke-2, misi-misi yang akan diteruskan sampai kepungan berakhir.

Objektif yang ketiga pula, yakni menyampaikan bantuan, nampaknya belum mampu dicapai sepenuhnya. Apabila barang-barang dirampas oleh Israel, walaupuan ada pihak Israel menyatakan bahawa barang-barang tersebut akan diberikan juga kepada rakyat Gaza, maka samalah seperti barang-barang itu telah hilang kerana Israel tidak boleh dipercayai. Namun syukur, apabila terjadinya perkara sebegini, pintu Rafah telah dibuka oleh Kerajaan Mesir.

Syed Muhammad Halim telah ditugaskan sebagai perawat medical personal di atas dek ketiga di luar untuk memberikan rawatan kepada peserta yang cedera yang dijangka akan dilakukan oleh Zionis. Memang sesungguhnya mereka telah menjangka bahawa mereka akan diserang malam itu. Ada raptai latihan untuk situasi itu pada malam sebelum kejadian.

Selepas selesai latihan, kapten mengarahkan untuk berehat. Di sini ada satu suasana yang menarik. Kapten akan sentiasa mengingatkan bahawa sebelum tidur, siapa yang rasa berdosa, perlulah bertaubat kepada Allah sebelum tidur.Ada yang tidak tidur, meneruskan solat, qiam, berdoa, ada yang membaca Al-Quran dan berkawal.

Selepas solat subuh, lebih kurang pada pukul 4.15 pagi, terdengarlah letupan di belakang mereka. Letupan ini terhasil dari bom gas yang dibaling. Beliau menyatakan betapa suasana ketika itu sangat mengerikan. Tetapi beliau menyatakan bahawa takut langsung tidak wujud dalam jiwa mereka. Mereka telah meletakkan jangkaan akan berlakunya keadaan yang terburuk. Apa itu keadaan terburuk? Itulah dia – diseksa, dikepung, tak diberi makan dan sebagainya – Ada pendengar menjawab ‘Mati Syahid’ tetapi segera beliau menyatakan bahawa syahid bukan keadaan yang terburuk.

Apabila kejadian itu berlaku, belum sempat dia berkemas, dia mendengar bahawa jururawat menyatakan sudah ada kecederaan. Dalam masa yang singkat, sudah ada 4 orang masuk untuk rawatan. Salah seorangnya telah ditembak sniper di dahi dengan otak yang telah terburai. Seluar beliau pada ketika itu berlumuran darah. Dua kali dibasuh, tetapi darah masih tidak hilang. Sekali di dalam penjara, sekali di hotel. Namun darah syuhada tetap kekal di seluarnya.

Dr Syed Muhammad Halim berkongsi bahawa, ada 4 mayat di hadapan mereka. Salah seorangnya seiras dengan kenalannya di atas kapal, sangkanya, kawannya itu telah syahid. Tetapi bila dia melihat keluar, dia terjumpa kawannya. Nyata kawannya bukan yang syahid tadi. Dia menceritakan kepada temannya betapa seirasnya wajah temannya itu dengan yang syahid tadi. Kawanya pantas berkata: Alangkah baiknya kalau dia yang mati itu.


dipetik dari : http://ms.langitilahi.com